Bersanding di luar rumah pengantin perempuan Bersanding

Bersanding di luar rumah ini diadakan dengan tujuan agar ramai tetamu dapat menyaksikannya. Saiz anjung rumah tradisional yang kecil, rumah papan dan bertiang tidak membenarkan puluhan orang masuk ke dalam untuk menyaksikannya.

Ketika bersanding di luar rumah ini, acara silat, tarian, menabur gula-gula, menambur duit syiling dan lain-lain persembahan diadakan.

Selepas mempelai ditabur 'beras kunyit', kedua-dua mempelai akan didudukkan di atas kerusi berhadapan dengan khemah tetamu. Jadi semua orang yang hadir akan dapat menyaksikan mempelai yang berpakaian baju melayu songket.

Kerusi pengantin hanyalah kerusi tetamu sahaja tetapi di alas dengan 'kain batik lepas'. Kedua-dua kerusi ini diletak atas tikar yang lebar. Sekeping tikar lagi diletakkan sebelah hadapan. Sejambak bunga telur diletakkan hadapan mempelai. Bunga telur akan dihadiahkan kepada mereka yang sudi mempersembahkan silat pulut.

Silat pulut ialah istilah umum yang dipersembahkan semasa majlis persandingan di luar rumah. Orang sekampung mungkin belajar Silat Pedang iaitu ilmu pertempuran menggunakan senjata. Tetapi semasa majlis persandingan, 'ilmu pertempuran' tidak dipersembahkan kecuali yang ringkas dan mudah sahaja.

Orang ramai akan berasa ngeri jika silat bertempur dipersembahkan. Apatah lagi jika senjata seperti keris dan pedang digunakan. Tempoh masa bersanding di luar rumah tidaklah lama, sekitar 30 minit sahaja. Ini kerana cuaca waktu tengah hari cukup panas. Tambahan pula penonton tidak mahu peristiwa Lembing Awang pulang ke Dayang berulang kembali.

Berkaitan